SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Megah Ria ditubuhkan mengambil sempena nama sebuah taman perumahan di mana sekolah ini terletak iaitu Taman Megah Ria. Alamat penuh sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Megah Ria, Jalan Jelatang 15, Taman Megah Ria, 81750 Masai, Johor Bahru, Johor.

Sekolah ini dibina di atas tapak Lot PTD 124383 dengan keluasan tapak 8.369 ekar (lebih kurang 3.5 hektar) oleh pemaju yang bertanggungjawab membina sekolah ini iaitu Matang Selatan Engineering SDN.BHD. Perunding rekabentuk sekolah ini dihasilkan oleh Dasarunding SDN. BHD. Sekolah ini dibina mengikut konsep “ Design and Build”.

Kerja-kerja asas pembinaan telah dimulakan pada 29 Mei 2000 iaitu sebaik sahaja Syarikat Pemaju Utama mendapat “ Letter of Award”. Kerja pembinaan dijangka siap pada 28 Ogos 2002. Namun, disebabkan beberapa kekangan sekolah ini hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 29 Oktober 2002. Penyerahan sekolah oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) telah disempurnakan oleh Encik Kassim bin Mahadi, Ketua Unit Pembangunan JPNJ, pada 30 Oktober 2002.

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Megah Ria telah dibuka pada 6 Januari 2003. Pada awalnya, bilangan pelajar sekolah ini adalah seramai 301 orang beserta 9 orang guru. Namun, di atas sebab-sebab tertentu pelajar hanya dapat memasuki sekolah ini pada 13 Januari 2003. Sebelum itu, pelajar sekolah ini menumpang di SMK Seri Kota Puteri.

Upacara pengoperasian sekolah ini telah diadakan pada 13 Januari 2003, jam 8.30 pagi. Majlis telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah, Encik Mohammad bin Mohd Nasir yang mewakili Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.

Sekolah ini mempunyai 6 blok bangunan iaitu sebuah blok Pentadbiran, 3 buah blok Bilik Darjah (36 kelas), Bilik Khas (Bilik Sejarah, Bilik Geografi, Bilik Agama, Makmal Bahasa, Bilik Pendidikan Seni, Bengkel KMT/ERT, 2 buah Bilik Komputer, Bilik Muzik, Bilik Lukisan Kejuruteraan, Bengkel Teknologi Kejuruteraan, Bilik Autocad, sebuah blok Makmal Sains (Makmal Kimia, Makmal Fizik dan Makmal Biologi/ Sains Tambahan), sebuah Surau, Kantin, bilik Stor Sukan, sebuah Pondok Pengawal Keselamatan, Tempat Menunggu Bas, Tempat Meletak Kereta Guru, sebuah padang dan sebuah gelanggang permainan.

Sekolah ini pada mulanya ditadbir oleh seorang penyelaras di bawah bimbingan Pengetua SMK Seri Kota Puteri iaitu En. Abdul Razak bin Abdul Rahman. Beliau dilantik sebagai Penolong Kanan 1 mulai 16 November 2002. Pengetua yang pertama sekolah ini, Tuan Haji Kamdi bin Kamil mula berkhidmat di sekolah ini pada 16 Jun 2003. Beliau merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai seorang pensyarah di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini ialah Puan Badariah bt Buang , Penolong Kanan Kokurikulum disandang olah Pn. Marzitah bt. Abdul Malek. Pada tahun pertama penubuhan sekolah ini tenaga pengajar sekolah ini seramai 21 orang. Pada tahun 2005, Penolong Kanan Pentadbiran ialah Puan Marzitah bt Abdul Malek, Puan Norani Yusuf sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Encik Ishak Saidoo sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, 5 orang staf sokongan dan 4 orang pekerja swasta. Manakala pada awal 2006 Pn. Yoong Teck Chen telah menjadi Pengetua baru SMK Taman Megah Ria sehingga 2007. Dan kini SMK Taman Megah Ria di terajui oleh Tuan Nordin Bin Mukri sebagai Pengetua yang baru.